KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan penghibur tersohor, Anita Sarawak
selama hampir tiga tahun sejak 2012 akhirnya terjawab semalam apabila
dia dikhabarkan berada dalam keadaan sihat dan kini menetap di Las
Vegas, Amerika Syarikat.
Adik Anita yang juga pelakon, Noorkumalasari Mohamed Taib (gambar
kecil), 59, mendedahkan penyanyi yang terkenal dengan lagu Seksis dan
Tragedi Buah Epal itu mengambil keputusan untuk menyepi dan meninggalkan
Malaysia kerana nekad bersara daripada dunia hiburan.
Malah, Noorkumalasari berkata, Anita yang baru sahaja menyambut ulang
tahun kelahiran yang ke-63 pada Rabu lalu juga menafikan perceraiannya
dengan Mahathir Abdullah seperti yang digembar-gemburkan oleh pelbagai
pihak sebelum ini.
Perkahwinan Anita dengan Mahathir sudah mencecah 14 tahun selepas bernikah sejak 2001.
“Saya ada menghubungi Anita dua bulan lalu dan bertanya tentang kesahihan berita perceraiannya dengan Mahathir.
“Anita berkata, dakwaan tersebut merupakan satu fitnah kerana beliau kini masih bahagia bersama suaminya di Las Vegas.
“Dia juga sudah pencen dan tidak akan menyanyi lagi,” katanya ketika
dihubungi Kosmo! yang berusaha menjejaki penyanyi itu sejak seminggu
lalu.
Noorkumalasari yang sebelum ini mengunci mulut daripada berkongsi kisah
mengenai Anita turut memberitahu, Anita tidak merancang untuk pulang ke
tanah air dalam masa terdekat kerana selesa tinggal di Las Vegas sambil
menguruskan perniagaan bersama Mahathir.
0 Komentar untuk "KEPUTUSAN ANITA SARAWAK YANG MENGEJUTKAN MEDIA HIBURAN NEGARA"