Kisah Sebenar Dato Siti Dan Ex Wife Dato K , Saya Bukan Perampas Kata Datok Siti..



Secara umum, banyak pihak menganggap hubungan Datuk Siti Nurhaliza dengan bekas isteri Datuk K, Datin Tengku Zawiyah adalah di dalam keadaan yang tidak baik. Namun begitu, kemunculan sekeping gambar di Instagram yang menyaksikan mereka berdua bersama-sama telah membetulkan persepsi tersebut.

Gambar di atas diambil oleh Asyraf, anak tiri Siti Nurhaliza. Menurut Siti, hubungannya dengan Tengku Zawiyah sudah lama baik. Kata Siti:-

Gambar itu diambil Asyraf ketika Siti beraya di rumah abang Tengku Zawiyah di Kuala Lumpur, pada hari raya pertama. Suami Siti (Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa) nak menziarah bekas emak mentuanya yang memang berkumpul di sana. Siti pun sudah beberapa kali bertemu dengannya (emak Tengku Zawiyah).

Hubungan kami memang baik dan mungkin disebabkan gambar itu baru saja tersiar menyebabkan ramai yang menyangkakan kami baru saja berbaik
Anak tiri Siti Nurhaliza, Asyraf juga turut sama teruja berkongsikan gambar kedua-dua ibunya itu. Menurut Asyraf, dia ingin memperbetulkan persepsi orang ramai. Kata Asyraf:-
Saya teruja sebab itu gambar pertama mama dan Mak Iti. Sebenarnya saya sengaja letak gambar itu sebab kadang-kadang tengok masih ada lagi orang yang bersangka buruk terhadap hubungan keduanya padahal mereka aman damai saja,
-----------------------------------------------------------------------------------------------

Siti bersumpah tidak rampas Datuk K
15-08-2006 09:03:57 PM
Oleh RADIN SRI GHAZALI

KUALA LUMPUR: "Siti bukan punca kami bercerai," tegas Datuk Khalid Mohamad Jiwa sebagai menangkis cakap-cakap yang menuduh penyanyi tersohor itu perampas suami orang.

"Kami menjalin hubungan setahun selepas saya bercerai," jelas ahli perniagaan 49 tahun itu yang turut mengakui bahawa beliau dan bekas isterinya pernah bercerai pada 1998 namun rujuk tiga bulan kemudian.


Siti: Demi Allah, saya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Datuk ketika dia masih berkahwin. (foto TV3)

Bagi Siti Nurhaliza Tarudin pula, pengalaman dicap sebagai perampas suami orang amat menyakitkan.

"Demi Allah, saya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Datuk ketika dia masih berkahwin," tegasnya penuh perasaan kepada puluhan pengamal media di majlis ramah mesra bersama Siti Nurhaliza dan Datuk K di Seri Pentas dekat sini hari ini.

"Sila tanya pihak Jawi serta Mahkamah Syariah untuk menyahihkan kenyataan ini," sampuk Khalid sambil melahirkan keyakinan bahawa perkahwinannya kali ini akan berkekalan.

"Saya pernah gagal (dalam perkahwinan) sekali, saya tidak mahu gagal untuk kali kedua," katanya.

Datuk K melafazkan talak terhadap Tengku Zawiyah Tengku Izham pada 1 Febuari 2004 di rumah mereka di Bukit Antarabangsa. Pasangan itu bagaimanapun bercerai secara rasmi pada 12 Mac 2005.

Siti juga menafikan desas-desus bahawa dia rapat dengan janda bakal suaminya yang berusia 43 tahun itu.

"Saya pernah bertemu hanya beberapa kali dengan Tengku. Kami tidak rapat," katanya, sambil menyangkal dakwaan bahawa dia memanggil Tengku Zawiyah "mummy".


Siti: Saya tidak bermaksud untuk mengambil tugasnya sebagai seorang ibu (kepada anak-anak Khalid dengan Tengku Zawiyah) malah niat saya adalah untuk menolong Datuk memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak mereka. (foto TV3)

Berikutan laporan akhbar hari ini yang menyebut perasaan Tengku Zawiyah terguris oleh kenyataan Siti sebelum ini, penyanyi itu secara terbuka menyatakan permohonan maafnya.

"Saya memohon maaf kepada Tengku jika kata-kata saya menyinggung perasaannya pada sidang akhbar yang lalu (ketika mengumumkan perkahwinan mereka).

"Saya tidak bermaksud untuk mengambil tugasnya sebagai seorang ibu (kepada anak-anak Khalid dengan Tengku Zawiyah) malah niat saya adalah untuk menolong Datuk memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak mereka," katanya.

Tiga daripada empat orang anak Khalid dijangka tidak akan menghadiri majlis perkahwinan mereka. Mohd Adib, 16, dan Mohd Aazief, 8, bakal menemani Tengku Zawiyah melawat abang sulung mereka Mohd Anas, 19, yang kini menuntut di Australia.

"Jauh di sudut hati, mereka mahu menghadiri perkahwinan kami namun hati emak perlu dijaga. Saya tidak melarang dan mungkin hanya seorang (Mohd Ashraf, 14) yang akan hadir," ujar Khalid, yang turut bertegas bahawa anak-anaknya tidak pernah menentang sama sekali perhubungannya dengan Siti.

"Jika mereka tidak bersetuju dengan memberi alasan yang kukuh, saya mungkin tidak akan mengahwini Siti tetapi kesemua mereka telahpun merestui perhubungan ini," katanya.

Beliau juga "menegur" beberapa laporan media yang menurutnya boleh merosakkan tanggapan masyarakat terhadapnya.

Katanya, gaya penulisan beberapa rencana membayangkan seolah-olah beliau riak, angkuh dan tamak.

"Saya tidaklah kaya sangat.

"Malah, kos perkahwinan kami tidak sampai sejuta ringgit pun. Hampir kesemua barangan serta persiapan perkahwinan kami ditaja orang," ujar Khalid yang begitu kecewa dengan sesetengah pihak yang menyiarkan artikel mengenai perbelanjaan perkahwinan yang berjumlah RM12 juta tanpa usul periksa.


Pasangan itu juga merayu kepada pihak media supaya berhenti "bertanding" sesama sendiri untuk menyiarkan berita sensasi mengenai mereka.


"Pertimbangkanlah perasaan kami kerana majlis perkahwinan kami semakin hampir," rayu mereka..


---------------------------------------------------------------------------------------------
Harian Metro, 16/8/06

Edisi KL : Siti: Ini betul-betul cinta

Oleh Hartati Hassan Basri

PETALING JAYA: “Saya bukan perampas suami orang,” kata Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai cakap-cakap segelintir pihak mengenai perkahwinannya dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.

Penyanyi tersohor itu berkata, tuduhan berkenaan terlalu menyakitkan untuk diterimanya kerana perkara sebenarnya berbeza.

Dalam sesi Minum Petang & Ramah Mesra bersama media di Penthouse, Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam, Khalid yang turut hadir, meminta kerjasama media supaya tidak mengeruhkan lagi suasana.

“Apa yang dilakukan demi kebaikan. Justeru, kehadiran kami hari ini (semalam) untuk memberi peluang terbuka menjawab persoalan yang belum terjawab.

“Saya akan cuba setakat yang boleh. Saya harap media ikhlas memberi soalan. Insya-Allah kami ikhlas menjawabnya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Farid Ridzuan; Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Eliza Mohamed; abang Siti, Saiful Bahari dan isterinya, Rozie Abul Razak.

Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K, 47, berkahwin dengan Tengku Zawyah Tengku Izham pada 1986 dan bercerai secara rasmi pada 12 Mac 2005.

Mereka dikurniakan empat anak lelaki, Mohamed Anas Zawawi, 19, Mohamed Adib, 16, Mohamed Asyraf, 14, dan Mohamed Aazief, 8.


Berikut antara soal jawab media bersama Siti dan Khalid.

MEDIA (M): Apakah status Datuk Khalid ketika mula menjalin hubungan dengan Siti?

DATUK K (DK): Sebenarnya saya menantikan soalan ini. Secara jujur dan ikhlas, sebagai orang Islam dengan nama Allah hubungan dengan Siti berlaku selepas bercerai dengan isteri. Perceraian kami tiada kena mengena dengan Siti. Anda boleh mendapatkan fakta daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Tolonglah jangan diperkatakan lagi perkara ini.

Sama ada Siti ada atau tidak, perceraian itu tetap berlaku. Selama ini saya tidak jelaskan kerana tidak ditanya dan ia juga terlalu peribadi.

Tapi nampaknya ia terlalu banyak diperkatakan. Sebenarnya, kami cerai sekali pada 1998 tetapi kerana kasih sayang saya kepada anak serta memberi peluang kedua kepadanya (Tengku Zawyah), kami rujuk semula tiga bulan kemudian.

Kemudian pada 2002 hingga 2003, sekali lagi berlaku masalah dan perselisihan faham sehingga sampai satu peringkat, saya berjumpa guru agama untuk mendapatkan nasihat.

Mereka nasihatkan saya membawa perkara ini ke mahkamah dan biar mahkamah jatuhkan hukum.

Saya akui kesalahan saya tetapi saya bukan menceraikannya tapi perceraian ini berlaku kerana dia melanggar persetujuan bersama. Saya jelaskan di sini bahawa ia bukan berpunca daripada Siti.

M: Komen Siti dituduh perampas suami orang?

SITI: Bagi saya tuduhan itu terlalu menyakitkan kerana perkara sebenarnya berbeza. Kami mula kenal sebagai rakan bisnes dan berjumpa sekadar makan. Ketika itu tiada apa-apa hubungan. Selepas Konsert Royal Albert Hall di London, barulah saya betul-betul mengenalinya. Apapun, saya faham situasi ini (masalah rumah tangga Khalid) dan hanya mampu bersabar dengan tuduhan itu. Saya tahu tiada gunanya melawan.

M: Adakah Siti kenal rapat dengan Tengku Zawyah?

SITI: Saya mengenalinya tetapi tidak rapat dan berjumpa ketika diundang menghadiri majlis makan.

M: Bagaimana hubungan Datuk mula terjalin dengan Siti?

DK: Sebenarnya saya ingin berkongsi rahsia ini dengan semua. Ada satu insiden saya membuat kejutan besar untuk Siti. Satu hari ketika dalam kapal terbang ke Eropah, saya menghubungi Siti melalui telefon kapal terbang. Ia menyentuh hati Siti.

Sebenarnya saya takut meluahkan kata rindu kepada Siti, bimbang hubungan jadi tegang. Bukan kerana Siti garang tetapi saya segan.

M: Bagaimana reaksi Siti apabila menerima panggilan itu?

SITI: Dalam hati saya tidak sangka Datuk Khalid menghubungi saya dari kapal terbang.

M: Adakah ini cinta pertama Siti?

SITI: Saya boleh katakan ini betul-betul cinta sejati. Sebelum ini saya perlu mengenali ramai orang. Tapi untuk melihat kejujurannya, inilah orangnya.

M: Bagaimana Datuk melamar Siti?

SITI: Tarikh istimewa ialah 5 Julai lalu. Sebenarnya saya memang tidak tahu mengenai kunjungan Datuk Khalid ke rumah keluarga saya pada 23 Jun lalu. Memang saya tiada di rumah ketika itu (23 Jun) dan saya tidak berbohong dengan media. Bagaimanapun, selepas itu ada kunjungan susulan untuk merisik dan menyarungkan cincin sebagaimana dilaporkan akhbar tabloid tapi bukan pada 23 Jun.

M: Komen Siti mengenai kenyataan Tengku Zawyah dalam Harian Metro (semalam) mengatakan dia tersinggung dengan kenyataan Siti?

SITI: Saya dengan merendah diri meminta maaf. Apa yang dilaporkan ketika sidang media pada 17 Julai lalu, jauh di sudut hati tidak berniat mengambil alih tanggungjawabnya sebagai ibu kepada anak-anak Datuk Khalid. Apa yang saya lakukan ialah menjawab soalan media dengan positif. Mungkin ia kurang jelas kerana agak ringkas. Saya faham bahawa saya tidak akan dapat menggantikan tempatnya.

M: Adakah anak ketiga Datuk, Ashraf ‘anak ayah’ kerana hadir di majlis sidang media khas pada 17 Julai dan difahamkan menjadi satu-satunya anak Datuk yang akan hadir pada hari perkahwinan nanti?

DK: Saya ada empat anak. Anak sulung saya di Australia manakala anak kedua, ketiga dan keempat bersama ibu mereka. Mereka semua sudah berjumpa Siti termasuk yang di Australia dan tiada seorang pun daripada mereka yang tidak merestui perkahwinan saya.

Saya juga tidak pernah menghalang mereka untuk menghadiri perkahwinan saya nanti, malah mereka mahu hadir kerana saya ayah mereka.

Tapi pada waktu sama mereka perlu menjaga hati ibu mereka. Saya bangga kerana mereka berbuat demikian dan mahu menemani ibu mereka bercuti. Anak bongsu saya berusia lapan tahun dan masih kecil, jadi elok kalau yang sulung dan nombor dua ikut.

Bagaimanapun, anak ketiga, saya tidak pernah halang kalau mahu pergi bersama ibunya tetapi dia mahu tinggal. Saya juga tidak halang mana-mana anak saya datang tapi hanya seorang yang berpeluang datang. Ia bukan satu isu di sini.

M: Apa nasihat Datuk kepada bekas isteri?

DK: Saya minta dia bersabar dan tabah hadapi dugaan. Semua ini ada hikmahnya. Jodoh, pertemuan dan ajal maut di tangan Tuhan. Saya doakan dia bahagia dan selamat di dunia dan akhirat. Insya-Allah, saya tidak akan berhenti menolongnya kerana dia tetap ibu kepada anak-anak saya.

M: Kata orang apa yang kita lakukan hari ini akan datang semula kepada kita. Apakah Siti bersedia berdepan segala kemungkinan itu?

SITI: Insya-Allah, saya berpegang kepada Yang Satu. Apa yang penting niat. Jauh di sudut hati, segala tuduhan dan kata-kata orang saya sudah fikir semua itu.

Saya faham perlu berkongsi kehidupan dengan anak-anak Datuk Khalid. Itu juga sudah saya fikirkan. Saya juga perlu bersabar mengharungi kehidupan yang akan dilalui dan sedar pelbagai dugaan yang akan dihadapi.

M: Apakah Datuk bersedia mengubah fikiran jika anak-anak Datuk menghalang perkahwinan ini?

DK: Jika mereka punya alasan yang kukuh dan ada alasan yang perlu saya pertimbangkan.
Saya bukan perampas: Siti
Oleh Farihad Shalla Mahmud


Penyanyi mohon maaf jika guris perasaan Tengku Zawyah


PETALING JAYA: Penyanyi popular, Siti Nurhaliza Tarudin, memohon maaf kepada bekas isteri Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Tengku Zawyah Tengku Izham, jika dia mengguris perasaan wanita itu.

PASANGAN BAHAGIA: Khalid di samping Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza berkata, dia tidak berniat melukakan hati bekas isteri Khalid itu ketika menjawab pertanyaan wartawan bagaimana dia menerima kehadiran anak pasangan berkenaan pada sidang media mengumumkan rancangan perkahwinan mereka, bulan lalu.

“Siti dengan rendah hati ingin memohon maaf jika apa yang dilaporkan mengguris hati beliau. Siti tidak berniat berkata demikian kerana dalam situasi sidang media itu, Siti terpaksa menjawab seringkas boleh.

“Mungkin jawapan Siti tidak dihuraikan dengan baik maka berlaku salah faham. Siti tidak berniat langsung untuk mengambil alih tugas menjadi ibu kerana saya tahu ibu mereka masih ada.

“Saya juga bukan perampas suami orang,” katanya pada sesi ramah mesra dengan media yang berlangsung di Seri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam. Khalid turut hadir pada majlis itu.

Pada sidang media bulan lalu, Siti turut menjawab beliau bersedia menjadi ibu yang baik untuk empat anak Khalid dan Tengku Zawyah.

Akhbar semalam melaporkan, Tengku Zawyah berkata: “Biarlah orang mengguris hati saya, tapi saya tak tergamak mengguris hati orang. Saya hanya mahu menjaga hati anak saya.”

Siti Nurhaliza berkata, sejak berita perkahwinannya dengan Khalid timbul, dia sudah mengagak gelaran ‘perampas suami orang’ akan diberikan kepadanya walaupun mendakwa dia bukan punca perceraian pasangan berkenaan.

“Dikatakan perampas memang menyakitkan saya sedangkan perkara sebenarnya adalah sesuatu yang berlainan. Siti memang sudah menjangka akan dilabel demikian tetapi apa daya melawannya,” katanya.

Siti Nurhaliza berkata, dia memang sengaja mendiamkan diri ketika isu itu hangat diperkatakan kerana tidak mahu ia menjadi isu besar dan hanya bersabar dan enggan berlawan cakap mengenainya.

“Apa orang nak cakap, cakaplah. Siti terima saja kerana Siti percaya, apabila tiba masanya nanti kebenaran akan terbukti juga,” katanya sambil menegaskan sukar berfikir semasak-masaknya sebelum memutuskan untuk berkahwin dengan Khalid.

“Apa yang Siti harapkan ketika ini adalah doa agar hubungan ini berkekalan hingga ke akhirnya,” kata Siti yang mengaku dia memang mengenali Tengku Zawyah, malah pernah makan bersama.

“Siti akui ada berjumpa dengannya beberapa kali tapi nak kata rapat, tak juga. Kami tak pernah berbual mengenai perkara peribadi. Cuma setakat kenal dan pernah makan bersama. Taklah rapat sangat,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, perceraiannya tiada kena-mengena dengan Siti Nurhaliza dan meminta semua pihak tidak menuduh penyanyi itu menjadi punca kemusnahan rumah tangganya sebelum ini.

“Dengan nama Allah saya katakan di sini bahawa hubungan saya dengan Siti adalah selepas berlakunya perceraian saya dengan isteri saya. Perceraian saya dengan isteri saya tidak ada kena mengena langsung dengan Siti,” katanya.

Share this article :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk "Kisah Sebenar Dato Siti Dan Ex Wife Dato K , Saya Bukan Perampas Kata Datok Siti.."

Terima Kasih Sudah Berkomentar
 
Copyright © 2014 masalah dunia - All Rights Reserved
Template By. Kunci Dunia
Back To Top