JOHAN DAN OZLYN TERPAKSA GADAI BARANG KEMAS UNTUK MAKAN


Isteri pelawak dan penyampai radio, Johan Raja Lawak mengaku pernah hidup susah sehingga terpaksa menggadai barang kemas untuk makan.

Menurut Ozlyn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, 33, berkata dia terpaksa membenarkan suaminya menggadai barang kemas yang merupakan hadiah perkahwinan mereka kerana kesempitan.

“Kami pernah susah bersama-sama. Tidak ramai yang tahu, pernah satu ketika, saya terpaksa membenarkan dia menggadai barang kemas hadiah perkahwinan untuk makan seharian. Bayangkan, bagaimana susahnya kami waktu itu.

“Namun saya bersyukur sangat. Melewati waktu sukar itu, Allah limpahkan rahmatnya. Hubungan yang baru saja kami bina itu menjadi semakin kukuh dan utuh. Malah, kami menjadi semakin sayang, tidak pernah bergaduh walaupun dalam keadaan langsung tidak berduit,” katanya.

Kongsi Ozlyn lagi, situasi paling teruk ialah ketika anak sulung mereka yang hanya dikenali sebagai Abang, berumur tiga tahun. Ketika itu, dia dan Johan buntu untuk membeli susu buat Abang, memandangkan mereka langsung ketiadaan wang.

“Itu paling menyedihkan. Kami pernah tiada wang untuk membeli susu. Terpaksa gantikan susu dengan air kotak soya sahaja. 

“Memang sedih sangat bila teringat apa yang sudah dilalui. Benda ini selalu mengajar kami untuk tidak terlalu mendongak tinggi walaupun sekarang ini hidup kami sekeluarga sudah semakin senang,” katanya yang juga seorang pelakon.

Justeru, Ozlyn sendiri turut berbangga dengan anugerah yang diberikan Allah kepada kehidupannya. Johan yang terlalu baik dan sering mendahulukan keluarga adalah pemberian maha istimewa kepada kehidupannya.

Sikap Johan yang pemurah juga merupakan antara sebab mengapa dia berasa paling beruntung kini. Kasih sayang ikhlas seorang lelaki bernama Johan menjadikan dirinya begitu berharga dan rasa disayangi. 

“Orang lihat bagaimana kami menjalani kehidupan melalui laman sosial semata-mata, tetapi itu bukanlah gambaran sebenar. Sebagai manusia kami juga ada masalah sama seperti orang lain. Cuma bezanya dengan Johan semua masalah itu nampak kecil dan boleh diselesaikan dengan baik. Di situ bijaknya dia sebagai ketua keluarga.

“Sikap positif yang dimiliki Johan jugalah yang membuatkan saya bersyukur apabila diberikan kesusahan di awal dahulu dengan dia. Pengalaman itu menjadikan kami saling menghargai,” katanya.

Share this article :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk " JOHAN DAN OZLYN TERPAKSA GADAI BARANG KEMAS UNTUK MAKAN"

Terima Kasih Sudah Berkomentar
 
Copyright © 2014 masalah dunia - All Rights Reserved
Template By. Kunci Dunia
Back To Top