Pengambilan makanan enak sudah sebati dalam budaya masyarakat kita. Mana
tidaknya, perkara yang sering bermain di fikiran ialah apakah hidangan
lazat yang ingin kita nikmati hari ini dan bukannya makanan sihat yang
harus diambil untuk mengekalkan tahap kesihatan tubuh.
Budaya ini menyebabkan ramai dalam kalangan kita sakit, bukan disebabkan
tidak cukup makan sebaliknya kerana terlebih makan. Tahap kesedaran
untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat masih kurang terutama
dalam kalangan golongan muda yang lebih mengutamakan kepuasan diri
semata-mata.
Jika ada kesedaran sekalipun, kadang kala ia diketepikan demi memenuhi
tuntutan nafsu makan biarpun tahu makanan berkenaan boleh memudaratkan
badan apabila semakin meningkat usia.
Memetik Berita Harian, Pakar Perunding Urologi dan Perubatan Seksual,
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Madya Dr
Christopher Ho Chee Kong, berkata tidak ramai yang sedar, makanan boleh
mengundang penyakit jika diambil secara berlebihan.
Katanya, banyak makanan boleh menjadi punca batu karang iaitu struktur
keras menyerupai kristal yang terbentuk daripada bahan mineral di
bahagian antara ginjal hingga ke saluran kencing akibat masalah
kekurangan air dalam tubuh badan manusia.
“Buah pinggang berperanan sebagai alat penapisan bahan toksik, yang mana
mineral dan garam asid dalam air kencing boleh termendap di dalam organ
berkenaan. Apabila tubuh seseorang kekurangan air, bahan ini boleh
membentuk kristal dan seterusnya menjadi batu karang.
“Biasanya, batu karang terbentuk di ginjal, tetapi kadang kala ia boleh
beralih atau jatuh dan tersangkut di dalam saluran buah pinggang
(ureter). Ini akan menyebabkan buah pinggang tersumbat dan rosak,”
katanya.
Menurutnya, batu karang juga adalah unsur kuman yang boleh menyebabkan
masalah kencing kotor, pendarahan dan pendarahan dalam kencing, malah
jika dibiarkan boleh mengakibatkan maut.
“Meskipun tidak banyak kes kronik yang menyebabkan kematian, penyakit
ini jika dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang lama boleh menyumbang
kepada penyakit kritikal lain seperti kanser prostat sekali gus
meningkatkan risiko kes kematian,” katanya.
Masalah batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita
kerana beberapa faktor, terutamanya gaya hidup tidak sihat yang
menyumbang kepada masalah ini.Fakta itu dibuktikan menerusi kajian
global yang melaporkan tiga orang lelaki bagi setiap seorang wanita
mempunyai masalah batu karang disebabkan gaya hidup.
“Lelaki boleh dikatakan kurang mengambil air kosong seperti yang
disarankan setiap hari sekali gus menyebabkan berlaku dehidrasi. Selain
itu, gaya hidup lelaki yang membuatkan mereka lebih senang mengalami
kegemukan dan juga gaya pemakanan yang tidak seimbang menjadi punca
mereka mendapat batu karang,” katanya.
Selain itu, katanya, saluran air kencing lelaki yang kompleks berbanding
wanita juga dikatakan antara punca kecenderungan itu, namun risiko
berkenaan boleh dikurangkan jika mereka mengubah gaya hidup.
“Apa yang penting, tidak kira lelaki atau perempuan, kedua-duanya perlu
mengubah gaya hidup mereka ke arah yang lebih sihat,” katanya.
Mengulas mengenai gejala penyakit itu, Dr Chee Kong berkata biasanya
seseorang rasa sakit disebabkan batu karang besar yang menyebabkan buah
pinggang atau saluran buah pinggang tersumbat. Air kencing bertukar
menjadi nanah apabila berkumpul dengan lama dalam buah pinggang yang
tersumbat.
“Jika seseorang itu mengalami kencing berdarah, air kencing kotor, sakit
di kawasan pundi kencing, wujud butiran pasir di dalam air kencing dan
demam serta badan menggigil, kebarangkalian individu ini menghidap
penyakit ini adalah tinggi.
“Jika ada gejala ini, jumpa doktor dengan segera untuk menjalani ujian
darah dan air kencing, sinaran X, ultrasound dan imbasan tomografi
berkomputer (CT scan),” katanya.Beliau berkata, bagi pesakit yang
mempunyai saiz batu karang kecil, mereka perlu minum air dengan banyak
selain perlu mengambil ubat tahan sakit dan ubat untuk menghancurkan
batu karang yang kemudiannya akan keluar bersama air kencing.
“Ada juga ubat membantu mengeluarkan batu karang dalam saluran buah
pinggang dengan lebih cepat. Ubat sebegini melonggarkan saluran ureter
dan menyebabkan batu karang jatuh ke pundi kencing, seterusnya keluar
bersama air kencing,” katanya.
INFO
Jenis batu karang
- Kalsium
- Asid urik
- Struvite (batu magnesium ammonium fosfat)
- Cystine
Faktor risiko
- 10 peratus daripada pesakit mempunyai sejarah keluarga yang juga menghidap penyakit batu karang
- Kerap berlaku di negara bercuaca panas
- Gaya hidup yang kurang aktif
- Dehidrasi (minum air kurang 1,200 mililiter sehari)
- Pemakanan tinggi protein haiwan, tinggi sodium/garam, dos vitamin C dan D yang tinggi
- Jangkitan kuman saluran kencing yang berulang. Bakteria yang
menghasilkan urease (enzim yang memangkinkan hidrolisis urea kepada
amonia dan karbon diaoksida) membuatkan seseorang cenderung kepada
pembentukan batu karang
- Ketidakseimbangan tahap kalsium dalam badan boleh menyebabkan pembentukan batu karang
- Lebihan asid urik pada tahap tinggi boleh menyebabkan batu karang
Gejala
- Kencing berdarah
- Sakit belakang/kawasan pundi kencing
- Wujud butiran pasir di dalam air kencing
- Jangkitan saluran kencing (batu karang ialah
punca jangkitan)
punca jangkitan)
- Demam dan badan menggigil
- Kencing kotor
Pencegahan
- Banyakkan minum air
- Kurangkan makanan yang boleh menyebabkan pembentukan batu karang
- Elakkan mengambil vitamin C melebihi empat gram (g) sehari kerana ia membawa kepada risiko pembentukan batu karang
- Protein haiwan tidak patut dimakan secara berlebihan kerana protein
ini meningkatkan risiko pembentukan batu karang. Jumlah maksimum protein
haiwan yang disyorkan untuk pemakanan adalah kira-kira 150g sehari
Makanan yang menggalakkan pembentukan batu karang
- Kacang tanah, walnut, gajus, kacang dal
- Ikan bilis, ikan sardin
- Bayam, cendawan
- Organ dalaman haiwan, daging merah
- Makanan laut seperti kerang, ketam dan udang
- Kentang, keledek
- Teh, coklat, soya
0 Komentar untuk "Jenis Makanan Yang Menyebabkan Sakit Buah Pinggang "