"Truttt... truttt... truttt..."
Saya mengalihkan pandangan ke arah telefon bimbit yang berbunyi di meja.
Hairan, siapa pula yang menelefon waktu lewat malam begini. Saya capai
telefon bimbit tersebut dan mengerling ke arah jam dinding, sudah hampir
jam 12.00 tengah malam.
"Assalamualaikum... ini Encik Kassim ke?" sayup-sayup kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian.
"Ya, saya.. Kassim yang bercakap ini. Siapa itu ya? jawab saya penuh keraguan.
"Saya dari Hospital Besar Klang. Nak maklumkan pada Encik Kassim, Sahrul
anak Pandak Hassan yang menghidap denggi itu, baru saja meninggal dunia
sebentar tadi," jelasnya lagi.
"Innalilla hiwainna ilaihi rajiun..." hanya perkataan itu yang mampu saya ucapkan.
"Jadi saya nak beritahu supaya esok terpaksalah Encik Kassim ambik cuti
kat tempat kerja sebab nak minta tolong bawa jenazah arwah pulang ke
kampung," tambah pemanggil itu.
"Oh, tiada masalah. Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang bolehlah
saya datang ambil nanti. Tapi apa-apa pun esok pagi saya akan bincang
dengan keluarga arwah dulu," jawab saya penuh yakin.
"Baiklah, tapi Encik Kassim jangan lupa pula sebab mengikut nota di sini
hanya Encik Kassim saja yang dipertanggungjawabkan membawa jenazah ini
pulang," kata lelaki itu lagi.
Saya terkejut.
"Laa... pulak! Takkanlah saya seorang saja? Macam saya cakap tadi, kalau tak ada apa-apa hal esok bolehlah saya pergi, tapi kalau saya ada hal yang tak boleh dielakkan macam mana pula?" balas saya sedikit tegas.
"Laa... pulak! Takkanlah saya seorang saja? Macam saya cakap tadi, kalau tak ada apa-apa hal esok bolehlah saya pergi, tapi kalau saya ada hal yang tak boleh dielakkan macam mana pula?" balas saya sedikit tegas.
Lelaki itu diam. Tiada suara kedengaran darinya. Saya masih belum puas hati.
"Boleh saya tahu, ini siapa yang bercakap?" tanya saya inginkan
kepastian setelah saya tidak mendengar sebarang maklum balas dari
talian.
Tutt....tutt.... tutttt...
Talian terputus. Saya membelek telefon di tangan dengan penuh kehairanan.
"Apa daa... orang tak habis cakap lagi dia dah letak pulak. Dia orang ni
ambik mudah saja perkara yang melibatkan kematian macam ini," ngomel
saya sendiri sambil melangkah masuk ke bilik tidur untuk memaklumkan
pada isteri.
Pagi esoknya, saya dan isteri terus ke rumah keluarga arwah untuk
menziarah sambil bertanyakan tentang urusan membawa balik jenazah dari
Hospital Besar Klang ke kampung. Namun setibanya di situ, saya berasa
cukup pelik kerana tidak ada seorang pun penduduk kampung yang datang.
Saya dan isteri berpandangan sesama sendiri. Mustahil seorang pun tak
tahu, lagipun Pandak Hassan bukanlah orang asing di kampung kami.
Tugasnya sebagai bilal sudah cukup membuatkan dia begitu disenangi dan
dihormati.
Lagipun biasanya kala ada kematian, pasti ramai penduduk kampung yang
datang berziarah. Waktu ini biasanya kaum lelaki sudah mula sibuk
membuat keranda, menggali kubur dan menyediakan kelengkapan untuk urusan
pengebumian. Tapi berbeza pula pada hari ini. Rumah Pandak Hassan sunyi
sepi.
"Assalamualaikum.. Assalamualaikum!" saya memberi salam sambil meninjau kawasan di sekeliling.
"Waalaikumsalam.." sahut suara dari dalam. Tidak lama kemudian Pandak Hassan muncul di muka pintu, diikuti oleh isterinya.
"Kenapa sunyi saja rumah Pandak ni? Tak ada sesiapa yang datang lagi ke?" tanya saya.
"Eh, sunyi kenapanya pulak? Siapa pulak yang nak datang?" balas Pandak Hassan sambil memandang saya dengan penuh kehairanan.
Sah! Memang ada sesuatu yang tak kena. Saya mula bingung dan tak tahu
bagaimana hendak memulakan kata-kata. Setelah beberapa kali menggaru
kepala barulah saya ceritakan satu persatu tentang berita yang saya
terima dari Hospital Besar Klang malam tadi.
Terlopong mulut Pandak Hssan dan isterinya mendengar cerita saya. Pada
mulanya agak sukar untuk mereka terima berita itu namun setelah saya
tunjukkan bukti nombor telefon yang diterima malam itu dari telefon
bimbit saya barulah mereka percaya.
Tapi Pandak Hassan keliru sebab dia baru saja menelefon Sahrul di
hospital sebntar tadi dan anaknya itu memberitahu keadaannya stabil.
Biarpun terlantar, tidak mampu bangun dan perlu diberikan rawatan rapi,
tetapi Sahrul masih sedar.
Pandak Hassan juga bercadang untuk pergi ke Klang bersama isterinya pada hujung minggu ini untuk melawat Sahrul.
"Siapa pula yang pandai-pandai kata anak aku dah meninggal?" soal Pandak Hassan lagi.
Saya tergamam, tidak mampu berkata apa-apa. Saya juga bingung memikirkan
siapakah gerangan yang menelefon saya malam tadi sedangkan mengikut
kata Pandak Hassan anaknya Sahrul masih lagi dirawat di hospital
berkenaan.
"Bab kematian ini pun dia orang nak buat main-main," keluh Pandak Hassan dengan nada terkilan.
"Saya pun geram juga. Sudahlah hari ini tak pasal-pasal saya kena mohon
cuti, rupa-rupanya panggilan palsu pula. Kalau saya dapat tahu siapa
budak yang main-mainkan itu, tahulah saya nak ajar macam mana!" luah
saya dengan perasaan marah bercampur geram.
Saya meninggalkan rumah Pandak Hassan dengan seribu persoalan yang
bersarang di fikiran. Puas saya memikirkan kejadian yang berlaku malam
tadi. Siapalah yang menelefon dan bagaimana orang itu tahu nama serta
nombor telefon saya sedangkan tidak pernah sekalipun saya memberinya
kepada pihak hospital mahupun Sahrul sendiri.
Petang itu, ketika sedang berehat di beranda, datang seorang pemuda
memaklumkan suatu berita yang amat mengejutkan. Sahrul meninggal dunia!
Saya tergamam, seakan tak pecaya. Berkali-kali saya tanyakan tentang
kesahihan berita tersebut kerana saya tidak mahu pisang berbuah dua
kali.
Setelah yakin kebenarannya barulah saya dan isteri pergi ke rumah Pandak
Hassan. Ketika sampai saya lihat sudah ramai penduduk kampung yang
datang berziarah. Ertinya memang betullah Sahrul meninggal dunia.
Tanpa banyak soal, saya terus berjumpa dengan Pandak Hassan untuk
bertanyakan tentang urusan membawa jenazah anaknya itu pulang. Walaupun
Pandak Hassan kelihatan tabah dengan berita kematian anaknya, namun
kesedihan tetap terpancar daripada raut wajahnya. Dia kemudian
menyerahkan tugas membawa jenazah pulang kepada saya.
"Patutlah ada yang pesan supaya kau cuti bekerja hari ini, rupa-rupanya
memang ada tugas yang perlu kau buat," kata Pandak Hassan dengan wajah
sugul.
Saya sekadar mengangguk-anggukkan kepala. Tanpa sebarang komen saya
meminta Ishak, salah seorang saudara arwah untuk menemani saya ke
Hospital Klang menuntut jenazah Sahrul.
Alhamdulillah, ketika saya sampai segala urusan berkaitan arwah telah
diuruskan oleh pihak majikannya. Jadi mudahlah kerja saya untuk membawa
jenazah arwah pulang.
Sementara menunggu jenazah dibawa masuk ke dalam van, saya sempat
bertanyakan kepada petugas-petugas di hospital tentang panggilan yang
saya terima malam tadi.
Semuanya tidak tahu, malah mereka juga berasa hairan tentang perkara
tersebut. Untuk memperkukuhkan bukti, saya tunjukkan nombor panggilan
yang masuk ke telefon bimbit saya. Memang sah nombor milik hospital
berkenaan. Ertinya, si pemanggil berkenaan menggunakan telefon hospital.
"Tak mungkin kami telefon sebab arwah belum meninggal lagi waktu tu.
Kami tak boleh buat main benda-benda macam ini, salah dari segi
peraturan kerja. Lagipun encik terima panggilan jam 12.00 malam, arwah
meninggal dunia jam 3 petang esoknya. Memang tak masuk akal langsung!"
kata salah seorang petugas dengan bersungguh-sungguh.
Kami berpandangan. Otak ligat mencari jawapannya. Nak kata ada petugas
yang menelefon memang tak mungkin kerana semua menafikan. Lagipun ada
benarnya kata-kata mereka, takkanlah ada petugas yang menelefon waris
pesakit jika pesakit itu sendiri belum disahkan meninggal dunia. Itu dah
melanggar etika kerja.
Hal berkaitan kematian adalah perkara serius dan bukanya boleh dibuat
main. Hanya orang yang tidak waras saja akan buat kerja gila macam tu.
Jadi, siapakah lelaki yang menelefon saya malam tadi? Adakah arwah
Saiful? Tak mungkin Sahrul mampu berjalan sedangkan dia sudah seminggu
terlantar di katil. Lagipun kalau ikut logik akal usahkan nak berjalan,
malah nak buang air pun terpaksa guna saluran pail ke kantung plastik.
Tetapi jika Sahrul sekalipun, persoalannya dari mana dia dapat nombor
telefon saya? Seperkara lagi, bagaimana pula Sahrul tahu yang esoknya
dia akan pergi menghadap Ilahi dan kenapa pula dia bersungguh-sungguh
meminta saya untuk mengambil jenazahnya.
Bukan saya seorang saja yang mampu membawa van jenazah di kampung kawasan kediaman kami ini. Saya betul-betul binggung.
Bukan saya seorang saja yang kena bawa van jenazah di kawasan kediaman kami.
Sehingga ke hari ini, saya masih memikirkan tentang perkara tersebut.
Sepanjang pengalaman saya membawa jenazah, inilah peristiwa yang tidak
mungkin saya lupakan kerana saya masih tidak mendapat jawapan siapakah
yang menelefon saya pada malam itu.
Adakalanya suara itu masih lagi terniang-ngiang di telinga saya apatah lagi jika jam menghampiri pukul 12 tengah malam.
- Abu Kassim Samsori
0 Komentar untuk "Panggilan Misteri Jam 12 Malam"