Memakai cincin merupakan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Ini
kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah memakai cincin. Berdasarkan
hadith daripada Anas bin Malek :
“ Adalah cincin Nabi SAW dipakai pada tangan ini ( Dan dia
menunjukkan kepada kelingking jari kiri)”(Hadith Riwayat Muslim) Begitu
juga, nasihat Nabi Muhammad saw. Kepada Saidina Ali sesudah bernikah
dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan, Nabi Muhammad s.a.w.
berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari
manis atau jari kelingking (anak jari). Di samping itu Ali bin Abi Talib
berkata “ Rasulullah s.a.w telah melarang saya memakai cincin pada jari
telunjuk atau jari yang mengiringinya( jari tengah atau jari hantu)”.
(Hadith riwatat Muslim, Abu Daud At-Tirmizi dan An-Nasai)
Bagi pemakaian gelang tangan pula, terdapat sebuah hadis yang menyebut gelang tangan ini.
Bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang
lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda
bertanya kepada lelaki tersebut:”Apakah bendanya ini”? Lelaki itu
berkata:”Ia adalah gelang perubatan”. Rasulullah bersabda: “
Sesungguhnya benda itu tadak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk
tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika
sekirannya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak
akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya (Sahih riwayat Imam Ahmad).
Berdasarkan hadis di atas, terdapat perbezaan pendapat ulama’ sama
ada yang mengharuskan ataupun mengharamkan pemakaian gelang tangan ini.
Mereka yang mengharamkan penggunaan gelang tangan adalah bersandarkan
hadis zahir di atas secara jelas melarang lelaki memakai gelang tangan,
walaupun untuk tujuan perubatan.
Pun begitu, terdapat ulamak yang mengharuskan menggunakan gelang
tangan bagi lelaki dengan tujuan perubatan sahaja, tetapi dengan
beberapa syarat yang ketat iaitu gelang tersebut telah dibuat kajian
saintifik bahawa boleh merawat penyakit, gelang tersebut bukan dibuat
daripada emas dan perak, pemakaian gelang tersebut bukan untuk tujuan
menunjuk-nunjuk. al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman Islam-online)
ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat
bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam
syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang
tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun
jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana
ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”
Larangan memakai gelang yang dinamakan al-wahinah di dalam hadis di
atas bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk
kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada
merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal. Oleh
itu, pemakain gelang tangan bagi tujuan tangkal adalah jelas, iaitu
haram. Tidak kira jenisnya, sama ada ada logam, tali bewarna hatta
gelang getah sekalipun. Majlis fatwa kebangsaan telah memutuskan lilitan
hitam di lengan bagi umat Islam adalah haram kerana ia merupakan suatu
adat atau kepercayaan agama lain. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali
Ke-19, 6 Oktober 1987 )
Hasil dari pemerhatian penulis, pemakaian gelang di kalangan pelajar
PMM atau masyarakat awam, gelang yang dipakai bukanlah jenis magnetik
yang dibuat untuk tujuan perubatan tetapi jenis logam biasa yang boleh
dibeli di mana-mana sahaja dengan harga yang murah. Jadi gelang ini
bukanlah jenis yang diharuskan menurut Islam. Pemakain mereka hanya
bertujuan untuk menunjukkan penampilan yang dianggap “gagah” atau
“macho”. Oleh itu jika hanya untuk menunjuk-nunjuk atau berhias (bagi
lelaki) maka ia adalah amat ditegah dalam Islam.
Berkaitan dengan pemakaian rantai leher pula, bila ditanya “ kenapa
pakai rantai leher?” ramai menjawab: “rantai ini bukan dari jenis emas
atau perak”. Persoalan di sini bukanlah jenis buatannya sama ada rantai
emas, perak, besi ataupun tembaga. Menurut Islam rantai leher
merupakan salah satu alat perhiasan bagi wanita sahaja. Haram meniru
atau menyerupai wanita sama ada dari segi alat perhiasan ataupun
pakaian. Amat beratlah kesalahannya jika tujuan pemakaian rantai leher
itu bertujuan untuk meniru agama, anutan, ajaran agama lain, maka
hukumnya haram, bersandarkan sebuah hadis:
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan.” (Riwayat Abu Daud).
Apa yang perlu di sini ialah ilmu pengetahuan. Dengan erti kata
segala perbuatan dan amalan yang kita lakukan hendaklah berdasarkan ilmu
yang sohih, bukan ikut-ikutan sahaja. Punca utama berlakunya
terikut-ikut dengan budaya songsang seperti bertindik, rambut punk,
bertatu, memakai rantai adalah kerana kejahilan dan kedangkalan untuk
tidak mendalami ilmu agama. Ironinya keseronokan mengikut budaya asing
atau songsang ini akan merosakkan diri malah yang lebih parah lagi,
boleh merosakkan akidah kita. Akhirnya, panduan ilmu yang benar akan
mendorong segala perlakuan kita bertepatan dengan ajaran Islam
seterusnya mendapat kerahmatan dari Allah taala. Wallahu a’lam.
Source: PMM
Copyright © 2014 masalah dunia - All Rights Reserved
Template By. Kunci Dunia
0 Komentar untuk "Hukum Memakai Cincin, Gelang Tangan dan Rantai Leher Bagi Lelaki Islam"