Allah Subhanahu wa ta’ala memberi dua kemudahan atau keringanan kepada
orang yang bermusafir untuk melaksanakan solat iaitu JAMAK dan QASAR.
- SYARAT JAMAK DAN QASAR
Untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah(keringanan) solat
musafir(jamak dan qasar) mestilah menepati beberapa syarat. Berikut
adalah syarat-syarat yang dimaksudkan (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala
Mazhab al-Imam al-Syafi’ie, Jilid 1, Bab Solat Musafir) :
Pertama: Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah.
Solat yang telah masuk waktunya tetapi belum ditunaikan sebelum
memulakan perjalanan tidak boleh diqasarkan kerana dia belum dikatakan
sebagai musafir ketika solat tersebut wajib ke atasnya.
Sebagai contoh: Ali
mahu pergi ke Johor Bahru, ketika dia hendak bertolak(masih di rumah)
waktu zohor sudah pun masuk, maka dia wajib menunaikan fardu Zohor bukan
menangguhkan solat fardu itu di luar untuk diqasarkan dan dijamakkan
dengan Asar. Ini kerana setiap muslim diwajibkan mengerjakan solat fardu
apabila masuknya waktu solat.
Kedua: Perjalanannya
telah melepasi pagar qaryah(ia boleh diterjemahkan sebagai kawasan
kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).
Anda boleh memilih melepasi kawasan perumahan jika anda tinggal di
kawasan taman perumahan atau kampung, ia dikira sebagai kawasan boleh
dianggap sebagai kawasan bermukim menurut Imam al-Rafi’ie.
Orang yang masih berada di dalam kawasan pagar qaryahnya atau kawasan
bangunan qaryahnya tidak dinamakan musafir. Ini kerana perjalanan
tersebut hanya bermula ketika melepasinya dan akan berakhir apabila
sampai semula ke kawasan itu. Oleh itu, tidak harus mengqasarkan solat
kecuali solat yang wajib atasnya dan melakukannya dalam lingkungan
tempoh musafir tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan
oleh Saidina Anas bin Malik Radiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
صَلَّيْتُ
الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا وَبِذِي الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Aku
menunaikan solat Zohor bersama-sama Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam
di Madinah 4 rakaat dan solat Asar di Zulhulaifah 2 rakaat. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
*Zulhulaifah terletak di luar kawasan bangunan Madinah.
Hadith di atas menunjukkan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam
mengqasarkan solat setelah berada di luar kawasan permukiman, iaitu Nabi
tidak bersolat musafir ketika masih berada di Madinah.
Ketiga: Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.
Jika mengikuti imam yang bermukim, anda tidak perlu mengqasarkan solat
tetapi boleh berniat jamak dengan solat fardu yang lain dan selepas itu
boleh disusuli dengan mengqasarkan solat yang seterusnya.
Keempat: Tidak
berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju
selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.
Apabila berniat menetap selama empat hari, jadilah tempat yang dituju
itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu
dia tidak boleh bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat
musafir masih diharuskan semasa dalam perjalanan sahaja.
- HUKUM YANG DISALAH FAHAM
Syarat ke-4 merupakan perkara yang paling disalah ertikan oleh
ramai orang. Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk
menetap di sesuatu tempat (contohnya) 2 minggu, maka mereka menyangka
masih boleh menjamak dan mengqasarkan solat dalam tempoh tiga hari.
Sedang ia adalah sangkaan yang salah dan tidak bertepatan dengan apa
yang termaktub di dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafi’ie.
Jika seseorang yang menetap (contohnya) di Shah Alam merancang untuk
berada (contohnya) di Kota Bahru selama 7 hari. Maka dia hanya
dibenarkan untuk menjamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan
setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yang bermukim.
- MENGAPA TIDAK BOLEH LAGI JAMAK DAN QASAR?
Ini kerana apabila seseorang itu berazam untuk menetap (contohnya) di
Kota Bahru selama 4 hari atau lebih, ini bermakna ia telah berniat
bermukim di destinasi itu. Apabila dia sampai ke destinasi tersebut maka
dia sudah mendapat status orang yang bermukim bukan lagi musafir.
Sedangkan rukhsah(keringanan) solat musafir hanya diizinkan oleh Allah
Ta’ala bagi orang yang berstatus musafir, sepertimana Allah berfirman di
dalam surah al-Nisa’, ayat 101:
} وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ } النساء: 101
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:
ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح
Maksudnya: “Jika
seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka
terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak
dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari
destinasi) menurut pendapat yang sahih.”
Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat
status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk
menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka
dia masih boleh melakukan solat musafir(jamak & qasar) selama
tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana
dia masih dalam keadaan musafir.
- APAKAH MAKSUD ‘TIDAK TERMASUK HARI KELUAR DAN MASUK’?
Menurut mazhab Syafi’ie, tempoh untuk menentukan seseorang itu berstatus
mukim ialah menetap di sesuatu tempat selama 4 hari atau lebih, tetapi
tidak dikira hari perlajanan ke destinasi dan hari pulang.
Sebagai contoh:
Situasi 1:
Ahmad
akan bercuti di Kota Bahru selama 7 hari iaitu dari hari Isnin hingga
Ahad. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari
Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Ahad. Jadi
tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 5 hari setelah tolak
hari pergi dan pulang. Menurut kiraan tersebut, Ahmad secara otomatik
telah berniat bermukim di Kota Bahru iaitu lebih dari 3 hari. Dengan
ini, setiba Ahmad di Kota Bahru beliau tidak boleh lagi solat musafir.
Situasi 2
Berlainan
pula jika Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 5 hari iaitu dari
hari Isnin hingga Jumaat. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari
Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru ke
Kuala Lumpur pada hari Jumaat. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota
Bahru ialah 3 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Ini bermakna
Ahmad masih lagi berstatus musafir meskipun sudah tiba di Kota Bahru
kerana keberadaannya di sana kurang dari 4 hari.
- APAKAH HUJAH ATAU DALIL MAZHAB SYAFI’IE TENTANG TEMPOH MUKIM BERDASARKAN 4 HARI?
Hujah Imam al-Syafi’ie berdalilkan sepotong riwayat yang diriwayatkan di
dalam Sahih Imam Bukhari dan Muslim(dengan lafaz Imam Muslim):
عن
الْعَلَاءَ بْنَ الْحَضْرَمِيِّ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “لِلْمُهَاجِرِ إِقَامَةُ ثَلَاثٍ
بَعْدَ الصَّدَرِ بِمَكَّةَ”، كَأَنَّهُ يَقُولُ لَا يَزِيدُ عَلَيْهَا.
Maksudnya: Saidina al-‘Ala bin al-Hadrami Radiyallahu ‘anhu berkata, ‘aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda’, “Mukim bagi Muhajir selama 3 hari di Mekah selepas kembali dari Mina”, ‘Seolah-olah Baginda menyatakan tidak lebih dari tempoh itu’.
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani di dalam Fathul Bari, hadith ini
memberi maksud bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang
golongan Muhajirin –Radiyallahu ‘anhum- bermukim di Mekah sebelum
pembukaan kota tersebut.
Menurut Imam Nawawi pula(juga dalam Fathul Bari), hadith ini menjelaskan
bahawa Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengharamkan golongan
Muhajirin bermastautin di Mekah.
Menurut Imam Ibn Hajar lagi:
ويستنبط من ذلك أن إقامة ثلاثة أيام لا تخرج صاحبها عن حكم المسافر
Maksudnya: Pengajaran
yang boleh diambil dari itu(hadith), sesungguhnya menetap selama tiga
hari tidak mengeluarkan seorang itu dari hukum musafir.
Berdasarkan hadith sahih di atas dan penjelasan dari kedua-dua imam
menunjukkan bahawa tempoh menetap yang melebihi dari tiga hari(iaitu 4
hari dan ke atas) adalah tempoh yang tidak melayakkan seseorang menjadi
seorang musafir.
Hadith dikuatkan lagi dengan tindakan Saidina Umar al-Khattab
Radiyallahu ‘anhu yang tidak membenarkan golongan kuffar ahli zimmah
menetap di bumi Hijaz dan beliau membenarkan para peniaga dari kalangan
ahli Zimmah menetap selama tiga hari sahaja.(Rujuk: al-Talhis al-Habir)
Selain itu sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam
al-Muwatta’ (Riwayat Muhammad bin al-Hasan) bahawa Saidina Umar
membenarkan golongan Yahudi dan Nasrani berada di Madinah selama tiga
hari untuk mendapatkan keperluan mereka dan tidak boleh seorang di
antara mereka menetap lebih dari tempoh tersebut. (Rujuk: Ifadah
al-Raghibin)
Tindakan Saidina umar menunjukkan bahawa beliau tidak mahu golongan
kuffar bermukim dan menetap di Tanah Haram, lalu beliau hanya membenar
golongan ini dalam keadaan musafir sahaja.
Ini lah dalil yang menjadi asas Imam al-Syafi’ie Radiyallahu ‘anhu dalam menentukan tempoh permukiman.
- BAGAIMANA PULA RIWAYAT NABI PERNAH MENGQASARKAN SOLAT LEBIH DARI 3 HARI?
Sememangnya terdapat riwayat sahih yang menunjukkan baginda pernah
mengqasarkan solat ketika musafir lebih dari 3 hari. Ini seolah-olah
pada zahirnya, mazhab Syafi’ie bertentangan dengan Sunnah. Riwayat yang
dimaksudkan ialah:
عن
عمران بن حصين رضي الله عنه قال: “غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ،
وشهدت معه الفتح، فأقام بمكة ثماني عشر ليلة، لا يصلي إلاّ ركعتين“. رواه أبو داود
Maksudnya: Saidina
Imran bin Husain Radiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pergi berperang
bersama-sama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan aku menyertai
Baginda ketika pembukaan kota Mekah, lalu Baginda menetap di Mekah
selama 18 hari dan Baginda tidak mengerjakan solat melainkan dua
rakaat(qasar)”. (Hadith riwayat Imam Abu Daud)
Pendirian mazhab Syafi’ie mengenai hadith ini, apabila seseorang berniat tinggal di sesuatu tempat yang TIDAK PASTI TEMPOH MENETAP di sesuatu tempat keranaMELAKUKAN TUGAS YANG BELUM TENTU TAHU BILA SELESAINYA,
maka dia boleh mengqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari
pergi dan pulang. Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah Sallallahu
‘alaihi wa sallam telah menetap selama tempoh tersebut pada tahun
pembukaan kota Mekah kerana memerangi puak Hawazin dan Baginda
mengqasarkan solatnya kerana Baginda tidak pasti berapa lama Baginda
terpaksa tinggal di situ. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji atau Ifadah
al-Raghibin)
Isu ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam ‘Minhaj al-Tolibin’:
ولو أقام ببلد بنية أن يرحل إذا حصلت حاجة يتوقعها كل وقت قصر ثمانية عشر يوما, وقيل: أربعة، وفي قول: أبدا.
Maksudnya: “Jika seseorang menetap di sebuah negeri dengan niat bahawa
dia akan meninggalkan (negeri itu) jika tercapai hajatnya(selesai
sesuatu urusan) seperti yang dijangkakan, maka dia boleh qasar setiap
waktu selama 18 hari. Ada pendapat lain selama 4 hari, juga terdapat
qaul menyatakan selama-lamanya.”
Walaubagaimana pun, pendapat yang muktamad di dalam Mazhab Syafi’ie
ialah tidak lebih dari 18 hari iaitu tidak termasuk hari pergi dan
pulang. Hukum keringanan ini(jamak & qasar selama 18 hari) hanya
untuk sesiapa yang tidak tahu atau tidak pasti berapa lama dia akan
berada di sesuatu destinasi kerana urusan belum pasti selesai.
Sebagai contoh: Ali
mengidap satu penyakit dan penyakit ini hanya boleh dirawat di
Singapura. Tempoh rawatan itu tidak boleh dipastikan oleh pakar
perubatan. Lalu Ali pergi bermusafir ke Singapura dalam keadaan tidak
pasti berapa lama di akan menetap di Singapura kerana bergantung kepada
tempoh rawatan yang tidak pasti. Jadi dalam situasi ini, Ali boleh
menjamak dan qasar solatnya selama 18 hari tidak termasuk hari pergi dan
pulang.
Wallahu A’lam
Rujukan:
منهاج الطالبين وعمدة المفتين, الإمام محي الدين أبو زكريا يحيى بن شرف النووي
الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي, الشيخ الدكتور مصطفى الخن, والشيخ الدكتور مصطفى ديب البغا, والشيخ على الشربجي
إفادة الراغبين بشرح وأدلة منهاج الطالبين, الشيخ الأستاذ الدكتور مصطفى ديب البغا
فتح الباري شرح صحيح البخاري, الإمام الحافظ أحمد بن علي بن حجر العسقلاني
التلخيص الحبير, الإمام الحافظ أحمد بن علي بن حجر العسقلاني
0 Komentar untuk "Salah Faham Solat Jamak Qasar Yang Selalu Orang Buat "